SELAMAT DATANG KE RUMAH RF VERSI MAYA!

Friday, December 23, 2011

- tak mungkin dia promo khas -


“Erina?”

Terpaku Erina untuk beberapa detik. Suara lelaki menyeru namanya itu seakan-akan pernah didengarinya sebelum ini. Namun begitu, dia tidak berani untuk berpaling. Dia beranggapan yang dia sudah terlampau jauh berkhayal sehingga terbawa-bawa ke alam nyata.

“Erina... awak ke tu?” Suara itu bertanya dalam keraguan.

Perlahan-lahan Erina memusingkan tubuhnya menghadap si empunya suara yang bertanya.

Dia ternganga. “Izhar?” spontan bibirnya menyeru nama tersebut. Kadang-kadang dia terasa macam lelaki itu seperti seorang ahli sihir. Setiap kali dia menyebut nama lelaki itu dengan seluruh rasa rindu yang ada dalam hatinya, pastinya lelaki itu akan muncul dalam sekelip mata. Hairan!

“Erina,”

Ah, betapa rindunya dia untuk mendengar namanya diseru sebegitu!

Ternyata dia tidak berdaya untuk menyingkirkan Izhar dari hidupnya. Mereka mungkin tidak pernah berjanji untuk sehidup semati, tetapi barangkali tautan perasaan antara hati mereka berdua terlalu kuat untuk dileraikan.

Izhar menapak beberapa tapak ke hadapan, menghampiri Erina yang kelihatan keliru sendiri. Entah mengapa, macam ada paku yang mencengkam kakinya supaya kekal di tempatnya. Lelaki yang bernama Izhar itu pula semakin berani untuk mendekat.

“Tak elok kita macam ni,” ujar Erina. Akhirnya dia berjaya mengawal diri.

Izhar jelas kehairanan. “Kenapa?” tanyanya.

Erina mengetap bibirnya, kuat. Dia tidak tahu sama ada patutkah atau tidak dia memberitahu Izhar mengenai status dirinya yang bakal berubah tidak lama lagi. “Saya ni bakal tunangan orang, Izhar. Nanti apa kata orang?” akhirnya dia berterus-terang.

Dia sendiri hairan dengan tindakannya yang agak drastik itu. Lebih menghairankan, untuk pertama kalinya, dia berasa bangga dengan status yang baru dipegangnya itu. Barangkali sebab dia mahu menunjuk kepada Izhar bahawa dia tidak hairan jika lelaki itu sudah punya keluarga sendiri. Dia tidak akan patah hati dengan hakikat itu, tetapi benarkah begitu? Tegarkah dia menerima lelaki lain dalam hidupnya nanti?

“Bakal tunangan orang?” ulang Izhar.

Sebuah anggukan Erina menjadi jawapannya.

“Ah! Sekarang bukannya ada orang yang kenal kita... kan?” ujar Izhar. Selamba.

Erina tersentak. “Betullah tak ada orang yang kenal kita kat sini. Tapi kita kenalah sedar diri. Antara kita sekarang ni dah tak macam dulu lagi. Ada batasan yang perlu kita jaga. Ada perasaan yang perlu kita bela,” jawabnya. Nada suaranya kedengaran tegang.

“Habis tu, kenapa awak masih pakai cincin yang saya beri tu?” soal Izhar.

Serentak dengan itu, kedua-dua pipi Erina terasa macam ditampar seseorang. Sakit. Bera. Pedih. Dia berura-ura untuk segera menanggalkan cincin tersebut, tetapi Izhar pantas menghalang tindakannya. Dia mengangkat muka ke arah lelaki itu.

“Kalau boleh, saya nak awak terus biarkan cincin tu kat situ selagi cincin pertunangan awak tak disarungkan. Saya nak cincin tu tertanggal dari jari manis awak tu hanya kerana tempatnya bakal dihuni oleh sebentuk cincin yang lain,” pinta Izhar dengan wajah penuh mengharap.

Erina terkesima.

“Please, Erina... pertunangan awak nanti akan menamatkan persahabatan kita secara rasmi. Jadi, rasanya tak salah kalau saya buat permintaan kecil yang tak seberapa ni? As a friend... an old friend,” katanya. Nada suaranya kedengaran begitu mengharap.

Perlahan-lahan Erina mengangguk. “As an old friend,” ulangnya perlahan.

Maknanya selama ini hanya dia yang ternanti-nanti. Dia menunggu kepulangan Izhar dengan seluruh kesabaran yang ada dalam dirinya. Dia berpegang pada janji tidak rasmi yang diucap oleh lelaki itu di dalam suratnya walaupun dia sebenarnya tidak begitu pasti. Hakikatnya Izhar sekadar menganggap dirinya sebagai seorang kawan. Seorang kawan lama. Mungkin selama ini anggapan lelaki itu padanya tidak pernah lebih dari itu. Hanya dia yang tidak sedar diri.

“Saya minta diri dulu,” ujar Erina tidak lama kemudiannya.

Izhar nampak macam hendak membantah, tetapi wajah Erina yang tiba-tiba bertukar sugul itu membantutkan hajatnya. Apabila dia menawarkan diri untuk mengiringi langkah gadis itu ke kereta, gadis itu buru-buru menolak. Mereka berpisah di tepian pantai itu sahaja.

“Selamat tinggal, Pantai Saujana... selamat tinggal, Izhar...” Erina berbisik sebelum berlalu.




p/s: jangan lupa utk dapatkan TMD kat pasaran... =)

No comments: