- Yeouido, Seoul, Korea Selatan -
Kuz berpaling untuk kali yang terakhir ke arah bangunan yang menempatkan KBS Hall yang kian jauh ditinggalkannya. Dewan besar yang merupakan sebahagian daripada ibu pejabat Korean Broadcasting System atau lebih dikenali sebagai KBS, syarikat penyiaran yang sangat masyhur di Korea Selatan itu makin jauh ditinggalkan. Dia menarik satu nafas panjang lalu menghembuskan semuanya perlahan-lahan sebelum kembali menyambung langkah kakinya.
Selepas ini dia tidak akan menjejakkan kakinya ke situ lagi. Biarpun dia menyimpan banyak kenangan di KBS Hall itu, dia tidak akan berpaling ke belakang lagi. Cukuplah setakat itu sahaja. Dia sudah nekad dengan keputusan yang telah diambil.
Dalam masa seminggu lagi, dia bukan sahaja akan tinggalkan bumi Korea Selatan, malah dia juga akan melupakan semua perkara yang pernah berlaku dalam hidupnya selama enam tahun dia bermukim di negara yang sangat mementingkan keuntungan kepada rakyatnya itu. Dalam tempoh seminggu lagi, dia akan pulang ke Malaysia tempat tumpah darahnya yang tercinta. Ya. Dia akan pulang akhirnya, setelah enam tahun dia menidakkan rasa rindunya pada tanah air.
Memang betullah dia pernah menyimpan niat untuk bermastautin di Seoul, ibu negara Korea Selatan selama paling kurang pun sepuluh tahun demi membina nama sebagai seorang penari pop profesional, tetapi belum sempat niatnya itu dicapai, dia terpaksa menukar rancangan. Permintaan bapa sepupunya, Tengku Ghadafi, agar dia cepat-cepat pulang berkhidmat di syarikat kepunyaan keluarga mereka yang menjadi sebab yang membawa kepada pertukaran rancangan tersebut.
Oh! Tidak. Bukan itu sebenarnya sebab terbesar dia nekad balik Malaysia empat tahun lebih awal dari perancangan. Kepada orang lain, memang itulah alasan yang diberikan. Alasan itu juga yang digunakan untuk memujuk dirinya sendiri, agar keputusan drastiknya itu tidak dipertikaikan oleh hatinya biarpun hakikatnya, sekeping hati miliknya itu bukannya boleh ditipu atau diperdaya dengan semudah itu. Tidak mengapalah. Biar hatinya sahaja yang tahu tentang hal sebenarnya.
p/s: ya... ni deleted scene, jadi memang takkan ada dalam HKS versi cetak nanti... =)
No comments:
Post a Comment